Wednesday, 23 September 2015

Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan.

Keunikan Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan  demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan dan sejarah awalnya

            Keunikan Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan akan dikupas melalui beberapa aspek iaitu konsep demokrasi berparlimen, struktur Parlimen Malaysia, sistem demokrasi di Malaysia, ciri-ciri demokrasi berparlimen, perlembagaan, keluhuran perlembagaan, kepentingan perlembagaan, ketertinggian Perlembagaan Malaysia, pindaan perlembagaan, konsep Raja Berpelembagaan, kuasa perintahan, badan Perundangan (Legislatif), badan Pelaksana (Eksekutif), badan Kehakiman (Judisiari), pilihan raya, parti-parti ploitik di Malaysia, negara persekutuan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, lambang-lambang negara, jata negara, bendera kebangsaan dan lagu kebangsaan.

             Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Kompleks Gua Mulu dan kompleks gua niah, Sarawak. Secara dasarnya sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial

             Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui pelabuhan di Selat Melaka. . Penemuan beberapa tapak arkeologi  Zaman Proto Sejarah membuktikan wujud petempatan pesisiran pantai seawal abad ke-2 Masihi lagi. Ia membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 adalah merupakan penemepatan pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Ini  termasuk  Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak, dan Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka.

              Manakala di Borneo pula, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masihi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu.

              Penempatan terawal British di Malaysia bermula dengan pendudukan Pulau Balambangan pada tahun 1769 hasil dari perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Manakala penempatan Selat Koloni DiRaja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan Selat termasuk Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan persatuan sulit Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Bersekutu). Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu  berada di bawah kuasa Thai.
Di Borneo pula, Borneo Utara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu sekarang Sabah) telah berada dibawah pajakan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1881 sehingga 1946 apabila ia ditabalkan sebagai Koloni Diraja British. Manakala Sarawak menjadi milik keluarga  Brooke sebelumnya.

              Akibat penaklukan  Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatir oleh British khususnya dalam menjaga kepentingannya dan masyarakat imigran. justeru British mewujudkan Malayan Union, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-Melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk semenanjung diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa Singapura.


            Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei.. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan menakluk Malaysia, dan tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.



 Demokrasi berparlimen.

       Parlimen Malaysia melambangkan keutuhan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
      Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan maksud Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.

    Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

    Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa. Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis 2.1.4           Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

    Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

    Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.

    Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya. Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu. Walau bagaimanapun, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.

    Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.

   Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.

 
Struktur Parlimen Malaysia.
       Pemerintahan Malaysia yang bercirikan demokrasi berperlimen dan raja berpelembagaan yang unik kerana Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen:-
· Yang Di-Pertuan Agong
· Dewan Negara
· Dewan Rakyat
       Setiap negara mempunyai kaedah dan sistem pemerintahan yang tersendiri.
Terdapat berbagai nama yang diberikan untuk menggambarkan bentuk pemerintahan sesebuah negara seperti demokrasi, sosialis, monarki dan lain-lain. Dalam sistem berkenaan, terdapat jenis pemerintahan yang membenarkan penglibatan rakyat dalam mengurus dan mengemudi pemerintahan negara.
      Sementara itu terdapat juga pemerintahan yang tidak memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat dalam urusan pemerintahan negara.
       Sistem pemerintahan demokrasi amat bermakna bagi sesebuah negara yang mendaulatkan kebebasan rakyat. Ianya menggambarkan suatu sistem yang memberi keutamaan kepada suara dan kehendak majoriti rakyat. Istilah popular demokrasi “kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat”.
      Unsur penting dalam demokrasi ialah “pemerintahan rakyat”. Dalam sistem demokrasi yang berkuasa ialah rakyat. Demokrasi mempunyai makna yang bertentangan dengan autokrasi. Dalam autokrasi, rakyat tidak boleh bersuara dan tidak dibenarkan terlibat dalam urusan pemerintahan negara.

 Sistem Demokrasi di Malaysia.
      Pemerintahan Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja berpelembagaan seperti dinyatakan dalam perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
     Dalam sistem ini, kuasa perundangan Persekutuan terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang Di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.Parlimen mempunyai kedudukan tertinggi dan merupakan badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang dan dasar-dasar.
       Dalam demokrasi berparlimen, rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan kerajaan. Wakil yang dipilih oleh rakyat sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan bertanggungjawab serta bertindak untuk memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya. Amalan memilih pemimpin dan kerajaan dalam demokrasi berparlimen ini dibuat melalui pilihanraya.
       Pilihanraya merupakan salah satu saluran penglibatan warganegara dalam membuat keputusan politik. Melalui pilihanraya, rakyat diberi hak bagi memberi mandat kepada sesuatu seperti parti untuk membentuk kerajaan. Kuasa rakyatlah yang akan menentukan parti yang akan memerintah negara serta membentuk corak pembangunan dan masa depan rakyat.
 
 Ciri-ciri Demokrasi Berparlimen
       Negara demokrasi lahir daripada perjuangan berasaskan kedaulatan rakyat. Umumnya terdapat dua corak pemerintahan negara demokrasi, iaitu sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Republik.
      Malaysia telah memilih dan mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
     Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara manakala Raja-Raja Melayu menjadi lambang taat setia rakyat.
     Sistem Raja Berperlembagaan, merupakan pemerintahan yang mengekalkan raja sebagai pemerintah tertinggi negara dan negeri yang dibantu oleh Perdana Menteri.
       Sementara sistem Republik menolak institusi beraja. Kerajaan ini diketuai oleh presiden yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

 Raja perlembagaan.
   Satu ciri unik dalam pemerintahan Malaysia ialah institusi Raja Berperlembagaan yang bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.
    Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan nasihat Perdana Menteri.  Semasa menjalankan tugasnya, baginda tidak boleh bertindak sendirian kecuali dalam perkara tertentu Yang memerlukan budi bicara baginda untuk membuat keputusan.
    Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan orang Raja Melayu daripada sembilan buah Negeri Melayu secara bergilirgilir.
     Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.Yang di- Pertuan Agong Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sejak tahun 1957. Tonggak negara dan Ketua Utama Negara.Merupakan simbol keutuhan dan perpaduan rakyat di negara ini.
    Sistem ini malah membantu memantapkan kewibawaan institusi beraja di negara kita di samping memberikan keseimbangan kepada raja yang menaungi rakyat serta rakyat yang dinaungi oleh raja

 
 
PENGAJARAN / KESAN
    Pengajaran yang diperoleh daripada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia ialah kita hendaklah bersedia menerima perubahan yang positif demi memastikan kelancaran sistem pentadbiran negara kita.
    Kita juga perlu mematuhi undang-undang negara dan menghormati pemimpin agar kestabilan politik negara kita terpelihara. Selain itu, kita perlu bersikap inovatif dan kreatif dan perlu bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Perpaduan antara masyarakat berbilang kaum penting bagi menjamin keamanan negara kita sentiasa terpelihara. 
    Setiap masyarakat perlu bersikap toleransi dan bertanggungjwab memelihara kemakmuran negara.Sikap taat setia kepada pemerintah perlu disemai supaya kedaulatan negara kita dapat dipertahankan.

1 comment: